Photo Gallery
Majlis Perasmian dan Penamaan Dataran Pantai Morib, Kuala Langat
Pada 11 Oktober 2026, Majlis Perasmian dan Penamaan Dataran Pantai Morib telah berlangsung dengan keberangkatan tiba Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin, ke Majlis Perasmian Dataran Dato’ Seri Harun Idris, Pantai Morib. Majlis turut dihadiri oleh Yang Amat Berhormat Dato’ Menteri Besar Selangor bersama isteri.
Majlis ini turut menyaksikan penyerahan projek siap Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor kepada Majlis Perbandaran Kuala Langat. Projek Pemuliharaan Pantai Morib yang melibatkan kos keseluruhan sebanyak RM60.5 juta telah siap sepenuhnya pada 1 Julai 2026. Pelaksanaan projek ini merupakan usaha berterusan dalam memelihara kawasan pesisir pantai, mengurangkan risiko hakisan dan limpahan air laut serta meningkatkan daya tarikan pelancongan setempat.
Kini, Pantai Morib dibuka kepada orang awam untuk menikmati keindahan pantainya, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan sektor pelancongan, pertumbuhan ekonomi setempat dan kelestarian kawasan pesisir pantai.
Semoga transformasi ini memberikan manfaat berpanjangan kepada masyarakat serta menjadikan Pantai Morib sebagai destinasi pelancongan yang lebih menarik dan mampan.






