Skip to main content

Info

Pengurusan Pantai

Menyedari kejadian hakisan pantai yang semakin meningkat dan mengancam penduduk pantai serta mengakibatkan kerugian sepanjang garis pantai, Kerajaan telah menjalankan Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan dari bulan November 1984 hingga bulan Januari 1986 dan hasil kajian ini menunjukkan bahawa daripada 4,809 kilometer garis pantai negara, kira-kira 29% atau 1,380 kilometer mengalami hakisan. Untuk menangani masalah ini, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Kejuruteraan Pantai dalam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 1987 untuk melaksanakan rancangan kawalan hakisan pantai di seluruh negara.

Garis pantai Malaysia adalah berubah-ubah daripada teluk berpemandangan indah yang diapit oleh tanjung tinggi berbatu sehinggalah tanah pamah lumpur cetek yang menyempadani hutan bakau. Di pantai timur Semenanjung Malaysia, hasil enapan yang tinggi daripada luahan sungai dan persekitaran ombak yang lebih kuat mewujudkan teluk berpasir berbentuk cangkuk. Sementara itu, di pantai barat, persekitaran ombak Selat Melaka yang sederhana membentuk pantai lumpur yang luas dan hutan pantai yang kaya dengan biodiversiti. Bentuk-bentuk yang serupa mencirikan pantai-pantai di Sarawak dan Sabah walaupun terdapat kawasan berpasir tertentu yang sangat rata. Bahan-bahan pantai termasuklah campuran pasir, kelodak, malah kulit kerang dengan tompokan kerikil dan singkapan batuan di sana sini.

Aktiviti Pembaikan Muara Sungai

Terdapat lebih daripada 150 muara di Malaysia dan kebanyakannya menghadapi masalah pengelodakan, yang mengurangkan kedalaman air untuk lalu lintas perikanan dan memberi kesan negatif kepada pembangunan industri perikanan. Kerajaan telah menjalankan Kajian Muara Kebangsaan pada tahun 1994 dan hasil kajian menunjukkan 35 muara menghadapi pengelodakan yang kritikal. Pelan induk yang dibentuk menyarankan supaya kerja pembaikan dijalankan dalam masa 10 tahun dan melibatkan kos berjumlah RM 330 juta. Berdasarkan pelan induk, program pembaikan muara sungai diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ketujuh untuk melaksanakan pengorekan dan pembinaan struktur pembaikan.

Aktiviti Pengurusan Zon Pantai

Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan telah disiapkan pada tahun 1986 dan hasil kajian mendedahkan bahawa daripada sejumlah 4,809 kilometer garis pantai negara, kira-kira 29% atau 1,380 kilometer mengalami masalah hakisan. Untuk menangani masalah ini, Kerajaan telah menubuhkan Pusat Teknikal Kejuruteraan Pantai di dalam Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) pada tahun 1987 untuk melaksanakan rancangan kawalan hakisan pantai bagi seluruh negara. Rancangan ini melibatkan dua strategi, iaitu strategi jangka panjang dan juga jangka pendek. Strategi jangka pendek melibatkan pembinaan projek kawalan hakisan manakala strategi jangka panjang melibatkan penambahbaikan pengurusan zon pantai dengan cara yang bersepadu supaya kejadian hakisan pantai tidak akan bertambah.

Kajian Indeks Kerentanan Pantai Kebangsaan (dengan kenaikan aras laut)

Indeks Kerentanan Pantai Kebangsaan (NCVI)

Kajian Indeks Kerentanan Pantai Kebangsaan (National Coastal Vulnerability Index - NCVI) diperlukan untuk mengenal pasti kawasan pantai yang terdedah disebabkan oleh kesan kenaikan aras laut. Hasil kajian akan digunakan untuk menyediakan Indeks Kerentanan Pantai dengan aras dedahan zon pantai bagi mengelakkan pembangunan di kawasan ini. Pada masa yang sama ia akan menjadi asas untuk melaksanakan langkah-langkah perlindungan yang disebabkan oleh kenaikan aras laut. Indeks ini akan menyediakan penunjuk tentang bagaimana rentannya garis pantai kepada kesan kenaikan aras laut yang mendadak. Kerentanan terhadap kesan ini merangkumi faktor-faktor biogeofizikal, ekonomi, dan keinstitusian dan sosiobudaya.

Pembangunan NCVI yang menyeluruh akan dijalankan secara berperingkat-peringkat. Fasa pertama kajian NCVI telah siap pada bulan Disember 2007. Ia meliputi dua (2) tapak rintis yakni Tg. Piai, Johor di Selatan, dan Pulau Langkawi, Kedah di utara.

Berdasarkan rekod pasang surut 20 tahun di dua tapak rintis ini, kadar kenaikan aras laut tempatan atau relatif di kedua-dua tapak ini boleh dianggap lebih kecil daripada kadar purata sejagat-rendah sebanyak 2 – 3 mm/tahun (iaitu SLR di Tg. Piai = 0.2 – 1.3 mm/thn; SLR di Langkawi = 0.5 – 1.0 mm/thn).

Kenaikan aras banjir di kedua-dua tapak untuk senario SLR tempatan adalah tidak terlalu tinggi.

1.0 Hakisan Pantai

Berdasarkan Kajian Hakisan Pantai Kebangsaan 1986, garis pantai Malaysia dikelaskan ke dalam tiga kategori hakisan berdasarkan ancaman terhadap kemudahan di pesisir sedia ada dengan nilai ekonomi besar ditakrifkan seperti berikut:

Kategori 1: Garis pesisir yang pada masa ini berada dalam keadaan hakisan dan tempat kemudahan atau infrastruktur berasaskan pesisir berada dalam bahaya keruntuhan atau kerosakan langsung.

Kategori 2: Garis pesisir yang terhakis pada kadar di mana harta benda awam dan tanah pertanian yang bernilai akan menjadi terancam dalam tempoh 5 hingga 10 tahun melainkan tindakan pemulihan diambil;

Kategori 3: Garis pesisir yang belum dimajukan mengalami hakisan tetapi dengan tiada akibat atau kerugian ekonomi yang kecil jika dibiarkan.

Senarai Kawasan Hakisan Pantai

1.1 Punca Hakisan

Hakisan pantai terjadi secara semulajadi dan berpunca dari perbuatan manusia. Dalam keadaan semulajadi, pantai mengalami kitaran dan pemendapan tetapi dalam tempoh masa yang lama, pantai dianggap stabil jika kedudukan minnya kekal tidak berubah. Dalam kebanyakan kes, punca hakisan ialah disebabkan aktiviti manusia yang memberi kesan langsung atau kesan sampingan terhadap kawasan pantai dan pesisirnya. Antara punca-punca hakisan disenaraikan di bawah ini:

  1. Punca hakisan semula jadi
    • Ribut utama semasa air pasang
  2. Punca hakisan buatan manusia
    • Pelabuhan
    • Marina
    • Jambatan, dan lain-lain
1.2 Langkah-langkah Tebatan Hakisan Pantai
  1. Kejuruteraan Berstruktur
    • Lapis Lindung
    • Groin
    • Pemecah Ombak
    • Blok Konkrit
  2. Kejuruteraan Tanpa Struktur
    • Penambakan Pasir Pantai
    • Penanaman semula bakau  
    • Geotekstil Tiub
    • Modul Penyamaan Tekanan

2.0 Pelan Pengurusan Pesisiran Pantai Bersepadu (ISMP)

Program ISMP yang dijalankan oleh JPS disesuaikan mengikut prinsip ICZM untuk memberi perhatian kepada isu-isu utama dan masalah yang dihadapi oleh garis pesisir kita.  Ia merupakan pendekatan bersepadu yang mengambilkira semua aktiviti bersektor yang mempengaruhi kawasan pantai dan memberikan pertimbangan sewajarnya kepada isu ekonomi, sosial, alam sekitar dan ekologi. Matlamatnya adalah untuk membangunkan alat pengurusan yang mengharmonikan semua aktiviti di kawasan pantai untuk menyokong set objektif pengurusan yang lebih luas bagi kawasan pesisir.

2.1 Objektif ISMP

  1. Penilaian dan pemilihan strategi pengurusan pembangunan pantai supaya pembangunan di kawasan pantai boleh dilaksanakan dalam cara yang mampan.
  2. Penilaian dan pemilihan opsyen pertahanan untuk garis pantai.
  3. Perumusan Garis Panduan Khusus dan Dasar untuk Aktiviti/Cadangan Pembangunan di kawasan pantai.

2.2 Penentuan Had Kawasan Garis Pesisir

Salah satu keputusan penting dalam melaksanakan ISMP adalah untuk menentukan had-had kawasan garis pesisir. Bidang pengurusan harus merangkumi semua sumber pantai yang berkepentingan dan juga merangkumi semua proses pantai. Had garis pesisir mungkin berbeza mengikut tempat, tetapi sebagai panduan umum, had-had arah ke darat dan arah ke laut yang berikut telah diterima pakai: -

  1. Had arah ke darat adalah kira-kira 1 kilometer dari garis pesisir (pada MHWS). 
  2. Had arah laut adalah kira-kira 3 kilometer sekiranya proses pantai memberikan kesan yang sedikit terhadap garis pesisir.

2.3  Pembahagian Garis Pesisir Ke Dalam Unit Pengurusan

Sepanjang garis pesisir, ciri-ciri fizikal, ciri-ciri pantai dan guna tanah amatlah berbeza-beza, menjadikannya agak sukar untuk merumuskan garis panduan atau dasar yang bermakna. Untuk mengatasi masalah ini garis pesisir disub-bahagikan kepada unit-unit kecil yang disebut unit pengurusan. Unit Pengurusan boleh ditakrifkan sebagai suatu jarak garis pesisir dengan ciri-ciri koheren dari segi proses pantai semula jadi dan juga guna tanah. Satu ilustrasi unit pengurusan adalah seperti yang ditunjukkan di bawah.

2.4 Status Hingga Kini

Sehingga kini, JPS Malaysia telah menyiapkan ISMP untuk Pahang, Melaka, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Labuan dan Miri, Sarawak. Pada masa ini, terdapat dua ISMP yang sedang dalam penyediaan iaitu ISMP Sabah dan ISMP Johor.

bahasa sharing button Bahasa Melayu
faq sharing button FAQ
hubungi sharing button Contact Us
aduan sharing button Feedback
sitemap sharing button Site Map
download sharing button Downloads