Galeri Foto
Majlis Hari Teknikal dan Inovasi JPS Negeri Selangor bagi Tahun 2026
Pada 12 dan 13 Februari 2026 - Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Negeri Selangor julung kali mengadakan program Hari Teknikal dan Inovasi JPS Negeri Selangor Tahun 2026 bertempat di Foyer, Bangunan SUK Selangor.
Program yang dirasmikan oleh YB Dato’ Ir. Izham bin Hashim, EXCO Infrastruktur & Pertanian Negeri Selangor merupakan platform kepada JPS Negeri Selangor dalam menyahut saranan YB Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor untuk membuat perkongsian maklumat termasuk teknologi dan inovasi yang digunapakai oleh JPS dalam pelaksananaan projek mitigasi banjir.
Hari Teknikal dan Inovasi JPS menampilkan kepelbagaian pameran dan pembentangan produk inovasi dan teknologi baharu seperti sistem pam, ecobloc, sheetpile dan sebagainya. Turut dikongsikan infografik projek-projek tebatan banjir berkeutamaan tinggi yang menjadi perhatian Kerajaan Negeri Selangor sebagai projek pengurangan risiko banjir yang lebih menyeluruh di lembangan sungai yang terlibat.
YB Dato’ EXCO Infrastruktur & Pertanian Negeri Selangor membuat dua (2) pelancaran sistem dan dashboard yang dibangunkan oleh JPS Negeri Selangor iaitu Sistem Pembayaran Caruman Parit Dalam Talian (e-CP) dan Dashboard Projek Mitigasi Banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor.
Pembangunan Sistem Pembayaran Caruman Parit Dalam Talian (e-CP) dan Dashboard Projek Mitigasi Banjir JPS Negeri Selangor ini adalah seiring dengan pelaksanaan Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus (RSTU) Kerajaan Negeri Selangor, iaitu sebagai agenda pembaharuan perkhidmatan awam untuk memastikan penyampaian perkhidmatan yang lebih cekap, pantas dan berkesan. Sistem Pembayaran Caruman Parit Dalam Talian (e-CP) pula merupakan satu langkah proaktif dan berimpak besar ke arah pendigitalan perkhidmatan JPS di mana urusan pembayaran caruman parit lebih mudah, sistematik, cepat dan mesra pengguna.
Manakala, Dashboard Projek Mitigasi Banjir JPS Negeri Selangor yang dibangunkan secara dalaman oleh kakitangan JPS Negeri Selangor menggunakan teknologi berorientasi Web Base iaitu Geographic Information System (GIS) dan perisian Arcgis Server turut menjadi penyuntik semangat inovasi di kalangan warga kerja. Pembangunan Dashboard Projek Mitigasi Banjir JPS Negeri Selangor memberi gambaran keseluruhan maklumat semasa projek mitigasi banjir yang dilaksanakan oleh JPS Negeri Selangor secara atas talian untuk informasi kepada semua agensi Kerajaan dan orang awam.